Penggerak Muslimin



Allah berfirman di dalam Al Quran:

"..Dia (Allah) telah menamai kamu sekalian orang-orang muslim dari dahulu, dan (begitu pula) dalam (Al Quran) ini, supaya Rasul itu menjadi saksi atas dirimu dan supaya kamu semua menjadi saksi atas segenap manusia.."
(Surah [22] AL HAJJ : Ayat 78)

"Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah."
(Surah [33] AL AHZAB : Ayat 21)






Dari Abdullah bin Mas’ud r.a : Rasulullah saw bersabda, “Barangsiapa berdusta atas namaku dengan sengaja, hendaklah dia mengambil tempatnya di neraka.”

(MUTAWATIR)



[[ Senarai Kitab Hadis ]]

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

[[ Carian Hadis ]]

Loading...

Sunday, March 13, 2011

Mencintai Isteri

Mencintai Isteri

PENDAHULUAN

Surah Al Baqarah [2] : [255]

.....(Allah) yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya).

PENGENALAN

Mencintai isteri yang dimaksudkan di sini adalah perasaan rasa kasih sayang seorang suami kepada isterinya. Seorang suami yang bertanggungjawab dan cinta kepada isterinya tidak akan mengabaikan isterinya baik dari segi kehidupan di dunia mahupun perjalanan menuju ke akhirat.

Suami adalah pemimpin kepada keluarganya dan isteri pula adalah penasihat terbaik bagi suaminya. Selain itu isteri juga memberikan ketenangan dan tempat mengadu kasih, mengadu masalah, bermanja-manja dan keperluan-keperluan emosi lain oleh suami.

Dari Ibnu Umar r.a : Rasulullah saw bersabda, “Dunia ialah kesenangan. Sebaik-baik kesenangan dunia ialah perempuan yang solehah.” [1410] Sahih Muslim

Oleh kerana besar dan pentingnya peranan isteri kepada suami, maka menjadi tanggungjawab suami agar menjaga pula perasaan dan emosi isteri agar masing-masing dapat menjalankan kewajipan masing-masing dan seterusnya dapat membina keluarga Islam yang cemerlang; dan seterusnya membentuk generasi masyarakat Islam yang hebat.

Terjemahan : Surah Ar-Ruum [30] : 21

21. Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya diantaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.

Di antara pengajaran yang dapat kita ambil dari ayat di atas;

(a). Isteri-isteri dari jenis kita sendiri, bererti Allah Subhana wa Ta’ala tidak menjadikan isteri kepada anak Adam lain dari golongan manusia seperti orang yang mendakwa berkahwin dengan binatang, jin dan sebagainya.

(b). Menjadikan manusia berasa tenteram dari gangguan perbuatan zina dan kemungkaran yang lain.

(c). Diberikan kepada manusia nikmat yang besar, iaitu nikmat berkasih sayang dan menyintai antara lelaki dan wanita dimana kedua-duanya memerlukan perasaan itu; untuk memberikan kasih sayang dan saling cinta menyintai. (Tafsir Ibn Katsir)

PERBINCANGAN

1. Keutamaan Mencintai Isteri

Di antara akhlak manusia yang paling baik adalah orang yang berbuat baik kepada isterinya. Mencintai isteri juga adalah mengikuti sunnah Rasulullah saw. Sesetengah orang menganggap mengikuti sunnah Rasulullah saw itu dengan memakai jubah, serban, bercelak dan lainnya.

Tetapi, sebenarnya berbuat baik kepada isteri juga adalah sunnah. Malah ia lebih utama untuk diikuti kerana ia membabitkan kewajipan seorang suami dan hak isteri.

Dari Ibnu Abbas r.a : Nabi saw bersabda, Sebaik-baik kalian adalah yang paling baik kepada isterinya, dan aku (Nabi saw) adalah orang yang paling baik di antara kalian kepada isteri ku.” [1621] Sahih Ibnu Majah

Dari Abu Hurairah r.a : Rasulullah saw bersabda, “Seorang mukmin yang paling sempurna imannya adalah orang yang paling baik budi pekertinya, dan sebaik-baik kalian adalah yang paling baik pada isterinya.” [1162] Hasan Sahih. Riwayat Al-Tirmidzi

2. Memimpin Isteri

Terjemahan : Surah An-Nisaa' [4] : 34

34. Kaum laki-laki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (laki-laki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan kerana mereka (laki-laki) telah menafkahkan sebagian dari harta mereka.

Lelaki adalah pemimpin kepada kaum wanita bermaksud; menyeluruh dalam ertikata sebagai pemimpin, ketua negara, hakim, pendidik atau pembimbing kepada wanita. (Tafsir Ibn Katsir).

Memimpin isteri bermaksud menjagai dia dengan mengajar ciri-ciri wanita Islam, akhlak, ibadah serta tanggungjawab-tanggungjawab sebagai seorang isteri dan Islam tanpa melupakan tanggungjawab diri sendiri (suami). Maksudnya si suami perlulah mempunyai ilmu-ilmu Islam yang benar untuk mengajar isterinya.

Oleh itu, para wanita yang belum berkahwin hendaklah memilih bakal suaminya seorang yang faham dan taat akan Islam agar suaminya layak menjadi pemimpin kepada rumahtangga. Kacak dan berharta juga penting, tetapi tidak sepenting ketaatan dan keilmuannya dalam agama.

Rasulullah saw telahpun menerangkan cara-cara mendidik wanita secara umum, tetapi jelas dan padat.

Dari Abu Hurairah r.a : Rasulullah saw bersabda, “Ajarilah wanita itu dengan cara sebaik-baiknya kerana sesungguhnya perempuan itu dijadikan (seumpama) dari tulang rusuk. Dan tulang rusuk paling bengkok ialah yang di atas sekali.

Jika engkau memaksa meluruskannya, nescaya (patah) dan jika engkau biarkan saja, sentiasa ia akan bengkok. Sebab itu, nasihatilah perempuan itu dengan cara yang sebaik-baiknya.” [1467] Sahih Bukhari dan Sahih Muslim [1411 hingga 1413]

Ertinya jika suami terlalu tegas (garang, baran atau seumpamanya) tentu rumahtangga tidak bahagia. Jika membiarkan saja si isteri, contohnya membiarkan isteri tidak menutup aurat di luar rumah, bergaul bebas atau membiarkan saja ia membuat sewenangnya, maka rumahtangga juga tidak bahagia.

Hendaklah berada pada pertengahan di antaranya, iaitu meletakkan sikap lembut, tegas atau marah sesuai pada tempat dan keadaannya. Selain itu suami juga perlu setia kepada isterinya.

Setia kepada isteri juga adalah sunnah Rasulullah saw, sebagaimana setianya Rasulullah saw kepada isterinya Khadijah binti Khuwailid (antara empat wanita terbaik di alam semesta) walaupun setelah ia meninggal dunia.

3. Adil

Dari Muawiyah Al-Qusyairi r.a : Saya mendatangi Rasulullah saw, aku bertanya, ‘Nasihat apa yang akan engkau katakan (yang harus kami lakukan) terhadap isteri-isteri kami?’

Rasulullah saw menjawab, “Berilah mereka makan dari apa-apa yang kalian makan, dan berilah mereka pakaian dari apa yang kalian pakai. Janganlah kalian memukul mereka dan jangan pula mencaci mereka.” [2144] Sahih Abu Daud

Bersikap adillah kepada isteri dan jangan hanya mementingkan diri sendiri sahaja. Maksud adil di sini adalah meletakkan sesuatu pada tempatnya dalam segala hal. Kadangkala suami membeli pakaian yang mahal tetapi isteri hanya dibelikan pakaian yang murah. Suami makan daging, tetapi isteri hanya dibelikan nasi lemak ikan bilis.

Sepatutnya, apa yang suami makan atau pakai hendaklah sama juga apa yang diberikan kepada isterinya malah kalau boleh biarlah apa yang diberikan kepada isteri itu lebih dari apa yang kepunyaan suami demi menjaga perasaan dan emosinya.

Sebenarnya ia bukan terhad kepada perkara makan dan pakai sahaja, tetapi ia adalah peringatan yang menyeluruh dari Rasulullah saw. Makanan dan pakaian itu salah satu contoh sahaja.

4. Bersabar Dengan Kerenah Dan Maafkanlah Mereka

Terjemahan : Surah An-Nahl [16] : 92

92. Dan janganlah kamu seperti seorang perempuan yang menguraikan benangnya yang sudah dipintal dengan kuat....

Mengikut tafsir Ibn Katsir ayat di atas adalah ayat perumpamaan. Perumpamaannya mengenai orang yang melanggar janjinya setelah bersumpah.

Tetapi perumpamaan dalam Al-Quran sangat hebat dan kadangkala satu ayatnya mengandungi pelbagai makna dan pengajaran yang boleh diambil, asalkan ia tidak bertentangan dengan syariat, ilmu pengetahuan atau bertentangan dengan Al-Quran dan hadis yang lain.

Mengapa ayat di atas tidak ditulis lelaki yang menguraikan simpulan? Ini kerana yang selalu kita lihat, lelaki apabila menjumpai simpulan pasti akan mengguntingnya saja. Perempuan pula lebih sabar dan teliti. Ini adalah perumpamaan.

Di sebalik kesabaran dan ketelitian wanita menguraikan simpulan tersebut, lelaki melihatnya sebagai; wanita itu suka kepada perkara yang remeh dan banyak kerenah. Inilah antara perbezaan besar antara lelaki dan wanita dan yang indahnya, perbezaan inilah yang menerbitkan komunikasi. Komunikasi pula membantu menjana hubungan suami isteri supaya sentiasa hangat.

Oleh kerana itu kadangkala kita melihat wanita lebih banyak bercakap dan cakapnya pula kadangkala ‘tidak bertapis’. (Terdapat juga di dalam hadis-hadis mengenai perkara ini seperti apa yang dilakukan oleh isteri-isteri Rasulullah saw kepada Rasulullah saw sendiri serta kepada madu mereka Safiah binti Huyay (keturunan yahudi). Rasulullah saw telah mengendalikannya dengan penuh bijaksana).

Janganlah difikir sangat perkara itu kerana itu memang fitrah wanita (banyak kerenah dan kadangkala sukar difahami kerana dalamnya perasaan mereka). Jangan sekali-kali kerana hal itu (terasa hati kerana percakapan wanita), kita memukul dan mencaci-caci mereka. Bersabarlah dengan isteri dan sentiasa memaafkan mereka. Di dalam hadis;

Dari Muawiyah Al-Qusyairi r.a : (Lanjutan dari hadis di atas).... “Janganlah kalian memukul mereka (isteri) dan jangan pula mencaci mereka.” [2144] Sahih Abu Daud

Dari Aisyah r.ha, ia berkata : Rasulullah saw tidak pernah memukul seorang pun dari pembantu beliau dan tidak juga isteri dan Beliau tidak pernah memukul apa pun dengan tangan Beliau. [1627] Sahih Ibnu Majah

5. Membantu Urusan Rumahtangga

Dari Aswad r.a, katanya : Saya bertanya kepada Aisyah r.anha, apa yang dilakukan Nabi saw dalam rumahtangganya. Ia berkata, “Beliau (Nabi saw) selalu mengerjakan urusan rumahtangga. Kalau masuk waktu solat, beliau pergi bersolat.” [1707] Sahih Bukhari

Suami yang mencintai isterinya juga sebaiknya membantu kerja-kerja rumah dan bukan menganggap isterinya sebagai orang gaji. Membantu isteri membuat kerja-kerja rumah juga mendapat pahala kerana mengikuti sunnah Rasulullah saw.

Al-Tabari meriwayatkan dari Aisyah r.ha dan ujarnya, Baginda saw membantu kerja-kerja rumah membantu isterinya seperti memotong daging, menyapu rumah malah membantu khadamnya melakukan tugas. Dalam riwayat lain pula menyatakan, Rasulullah saw menjahit pakaiannya, menampal kasutnya dan seperti lelaki lain juga yang membantu tugas isterinya. (Sumber dari Kertas Kerja Dr. Abdullah Nasih Ulwan – Jawapan Poligami Rasulullah saw)

PENUTUP

Perkara-perkara di atas bukanlah semua yang dapat ditulis di sini mengenai mencintai isteri. Secara umumnya, apabila dikatakan mencintai isteri, maka suami sehendaknya melaksanakan semua tanggungjawabnya kepada isteri seperti memberi nafkah, menjaga hati, menghormati keluarganya, menghormati pandangannya, minta nasihatnya dan lain-lain seumpamanya.

Mencintai isteri adalah amat penting dalam mewujudkan sebuah keluarga yang bahagia. Bermula dari mencintai isteri juga akan terlahir perasaan kasih sayang dan rasa tanggungjawab si suami kepada keluarganya.

Apabila terwujudnya perasaan saling menunaikan tanggungjawab masing-masing maka banyak keuntungan yang diperolehi. Selain berpahala ia juga memberi ketenteraman pada jiwa serta keseronokan berkasih sayang dapat dirasai.

Apabila telah lahirnya keluarga yang bahagia, maka tempiasnya turut dirasakan oleh jiran-jiran dan menjadikan mereka sebagai contoh lalu ia akan tersebar pula oleh jiran lainnya kemudian kepada masyarakat dan seterusnya memberi manfaat pula kepada keharmonian kemasyarakatan itu sendiri hasil dari didikan dan kewujudan keluarga yang bahagia; dan segalanya bermula dari mencintai isteri.

Terjemahan : Surah An-Nisaa' [4] : 19

19. ...Dan bergaullah dengan mereka (isteri-isteri kamu) dengan cara yang baik. Kemudian bila kamu tidak menyukai mereka, (maka bersabarlah) kerana mungkin kamu tidak menyukai sesuatu, padahal Allah menjadikan padanya kebaikan yang banyak.

Terjemahan : Surah Ar-Ruum [30] : 21

21. ........Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.

Rujukan :

Tafsir Ibnu Katsir

Jawapan Poligami Rasulullah saw [Prof Dr. Ibrahim Sya’wat dan Dr. Abdullah Nasir Ulwan]

Isteri dan Puteri Rasulullah saw [Muhammad Mahdi al-Istambuli dan Mushtafa Abu Nashr al-Syiby]

Mutiara Ilmu [Syeikh Muhammad Soleh al-Uthaimin]

Metodologi Al-Quran Dalam Pendidikan [Muhammad Shadid]

Artikel Popular