Hadis Palsu
Pengenalan
Hadis mawdu’ atau hadis palsu adalah;
1. Hadis yang diriwayatkan oleh perawi dusta.
2. Perkhabaran yang direka-reka dengan menyandarkan ia pada Nabi saw, sahabat atau tabi’in dengan pembohongan atas sebab muslihat tertentu.
3. Hadis yang direka lalu disandarkan kepada Nabi saw sama ada secara sengaja atau tidak sengaja.
Kelahiran Hadis Palsu
Mereka yang mula-mula melibatkan diri dalam mencipta hadis palsu adalah golongan syiah. Ia berkaitan dengan keadaan politik ketika itu. Antara faktor utama kelahiran hadis palsu adalah;
1. Pertelingkahan politik terutamanya antara pengikut Muawiyah r.a dan Ali r.a.
2. Golongan yang membenci Islam baik secara individu, perkumpulan mahupun pemimpin yang kehilangan kuasa dalam pemerintahan Islam ketika tersebarnya Islam ke serata dunia. Mereka mencipta hadis palsu yang memesongkan akidah dan menimbulkan kekacauan.
3. Pertelingkahan mazhab dan fahaman. Mereka mencipta hadis palsu terutamanya dalam bab fiqah dan ilmu kalam (falsafah).
Antara Cara Mengenali Hadis Palsu
Di antara strategi paling besar musuh Islam untuk meremehkan, mencela serta menghapuskan Islam dan penganutnya adalah dengan cara membuat hadis palsu. Pemalsuan hadis berlaku kepada semua bab dalam Islam samada dalam bab akidah, ibadah, hukum dan sebagainya.
Berbagai-bagai jenis hadis palsu yang direka kerana para musuh Islam ini tahu hadis itu sebahagian dari sumber agama Islam. Mereka menyerang hadis kerana mereka tidak mampu memalsukan Al-Quran. Walaubagaimanapun, mereka tidak tahu bahawa hadis juga termasuk dalam pemeliharaan Allah Ta’ala.
Berikut adalah beberapa hadis yang mudah kita kenali kepalsuannya dan ada pula memerlukan perhatian khusus samada dari segi sanad mahupun matannya. Antara contoh kepalsuan yang memerlukan perhatian dari segi sanad;
Contoh satu :
Dari Ibnu Abas r.a : Rasulullah saw bersabda, “Hendaklah kamu berserban nescaya bertambah kesopanan kamu.” HADIS PALSU [002 – Bab Pakaian] Himpunan Hadis Daif dan Palsu
Bukan mudah untuk mengetahui perihal sanad ini tetapi kita boleh melihat pembukuan yang telah dilakukan oleh ulama hadis (zaman kita ini telah menjadi mudah kerana telah dihimpun dan dibukukan). Antara yang mengatakan hadis tersebut palsu adalah Imam Ibnul Jauzy dan Imam Ahmad yang mengatakan perawinya Sa’id bin Salam dan Ubaidullah adalah berpenyakit (pembohong dan suka mereka-reka hadis).
Contoh dua :
“Barangsiapa yang taklid (mengikuti membuta tuli) seorang alim maka dia bertemu dengan Allah dengan selamat.” HADIS PALSU (tanpa sanad) [009] Hadis Lemah dan Palsu
Hadis di atas langsung tidak mempunyai sanad. Ertinya ia hanya percakapan kosong orang-orang jahil sahaja.
Contoh tiga :
Antara contoh kepalsuan dari segi matan yang kononnya Nabi saw bersabda;
“Bahawasanya Allah mengadu sakit matanya, maka para malaikat pun melawat-Nya.”
“Nabi itu umpama nasi.”
“Tempat yang paling disukai syaitan adalah panggung wayang.”
Kesemua hadis di atas (contoh tiga) sangat mudah kita mengenalinya kerana ia langsung tidak masuk akal, menyalahi Al-Quran dan hadis sahih lainnya, maksud yang lucu, bahasa yang lemah dan sebagainya.
Hanya orang yang kurang akal sahaja yang mempercayainya. Tetapi berbeza dengan hadis yang memerlukan perhatian sanad, kadangkala matannya sahih tapi sanadnya tidak. Apa yang penting adalah sanadnya.
Antara Tujuan Pemalsuan Hadis
Selain dari mencetuskan huru-hara dalam Islam, mereka yang membuat hadis palsu ini juga adalah kerana;
1. Fanatik – Taksub dengan mazhab masing-masing, fanatik bangsa, semangat kenegerian dan seumpamanya.
2. Mencari rezeki dan kekayaan – Inginkan nama, pangkat, melariskan jualan dan sebagainya.
3. Mendampingi (membodek) pemerintah – Mengampu pemerintah kerana inginkan pangkat dan sebagainya.
4. Pencerita – Supaya dapat menjadi terkenal. Kadangkala diciptanya hadis petua ini dan itu lalu disandarkan pada Nabi saw agar dapat menarik perhatian orang ramai agar orang mengenalinya sebagai orang yang berilmu.
5. Salah faham dan jahil dalam agama – Perkara ini adalah yang paling merbahaya kepada masyarakat Islam kerana biasanya orang-orang ini berpakaian seperti ulama tetapi akalnya singkat kerana jahil. Mereka menyangka membuat hadis palsu demi kebaikan umat Islam dibolehkan. Ini adalah perkara yang sangat buruk. Antaranya mereka mengatakan;
“Perselisihan umatku adalah rahmat.” HADIS PALSU (tanpa sanad) [001] Hadis Lemah dan Palsu
Apakah kesan hadis ini? Hadis ini membuatkan umat Islam akan lebih lemah dan keilmuan hadis akan semakin hilang. Selain itu umat Islam akan menyangka perbalahan dalam Islam adalah perkara yang dibenarkan dan mengambil mudah perkara ini yang akhirnya akan menjadi barah dalam masyarakat.
Tidakkah mereka perhatikan di dalam Al-Quran, dimana Allah Ta’ala melarang umat Islam saling berbantah-bantahan yang boleh menyebabkan mereka menjadi pengecut, lemah dan hilang kekuatan ? (Rujuk : Surah [8] Al-Anfaal : 46]
Terjemahan : Dan taatlah kepada Allah dan Rasul-Nya dan janganlah kamu berbantah-bantahan, yang menyebabkan kamu menjadi gentar dan hilang kekuatanmu dan bersabarlah. Sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang sabar.
[Bacaannya : http://id.quran.nu/quran/sound/QFA/008/046.mp3]
Selain itu terdapat juga mereka yang menafsirkan hadis mengikut hawa nafsu mereka sahaja tanpa memerhatikan sebab-sebab turunnya hadis, situasi, keadaan Nabi saw, pendapat para sahabat dan metod lainnya. Permasalahan di sini bukanlah pentauliahan, tetapi keikhlasan mencari dan menegakkan kebenaran.
Hukum Memalsukan Hadis dan Menyebarkannya
Para ulama secara ijmak mengatakan;
Hukum memalsukan atau membuat hadis palsu adalah haram dan bersedialah untuk mendapat tempat di neraka.
Dari Anas bin Malik r.a : Rasulullah saw bersabda, “Barangsiapa yang sengaja berdusta atas namaku maka persiapkanlah tempat duduknya di neraka.” MUTAWATIR (Muqaddimah Sahih Muslim. Turut diriwayatkan oleh Al-Bukhari, Abu Daud, At-Tirmidzi, Ahmad, Ad-Darimi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban)
Mengenai orang yang meriwayatkan atau menyebarkan hadis palsu;
a). Sekiranya dengan sengaja dan tahu hadis itu adalah palsu, maka haram hukumnya malah menjadi kufur kerana menambah-nambah sesuatu yang tidak disyariatkan dalam agama.
b). Sekiranya bertujuan memberitahu kepada orang ramai bahawa kebahayaan hadis palsu ini maka beroleh pahala (insyaAllah).
c). Sekiranya orang yang meriwayatkan hadis palsu tetapi dia tidak tahu hadis itu palsu maka tiada kesalahan (insyaAllah). Tetapi sebaiknya, sebelum kita menyebarkan sesuatu hadis hendaklah kita pastikan dahulu kesahihannya terutama para pendakwah. Terdapat amaran dari Rasulullah saw mengenai hal ini. Antaranya;
i) Dari Abu Hurairah r.a : Rasulullah saw bersabda, “Siapa mengatakan sesuatu atas namaku sedangkan aku tidak pernah mengatakannya maka hendaklak dia menempati tempat duduknya dalam neraka.” [0028] Sahih Ibnu Hibban
ii) Dari Abu Hurairah r.a : Rasulullah saw bersabda, “Cukuplah dosa bagi seseorang apabila dia menceritakan semua apa yang didengarnya.” [0030] Sahih Ibnu Hibban
Maksudnya apabila menjumpai sesuatu hadis, janganlah kita terus mengambil dan menyebarkannya terutamanya hadis dari internet yang tidak menjelaskan status hadis dan sumbernya.
Termasuk juga dalam hal ini adalah apabila menghadiri kuliah-kuliah agama di mana sahaja. Apabila guru menceritakan sebuah hadis (tidak kira siapa guru itu), dengarlah dengan teliti, catat dan tanyalah status hadis tersebut (sahih atau tidak) dan dari riwayat siapa (Bukhari, Muslim dan sebagainya), sekiranya guru tersebut tidak menjelaskan status hadis yang disampaikannya.
Bersamalah kita menjaga sunnah Rasulullah saw dan semoga Allah Subhana wa Ta’ala meletakkan kita dalam golongan ahli sunnah, golongan yang selamat, golongan yang mengikuti Rasulullah saw di dunia dan akhirat.
Wallahu’alam
Rujukan :
Tafsir Ibn Katsir dan lainnya
Keagungan Sunnah [Syeikh Qayyum bin Muhammad bin Nasir As-Sahaibani]
Kesan Hadis Daif dan Mawdu’ Terhadap Akidah [Abdul Al-Rahman]
Himpunan Hadis Daif dan Mawdu’ [Abdul Ghani Azmi]
Pengajian Al-Sunnah [Dr. Abdul Karim Ali dan Mohd Noor Deris]
Sejarah Perkembangan Hadis [Rosli bin Mokhtar dan Mohd Fikri Che Hussain]
Hadis Daif : Ciri-Ciri dan Hukum [Ariffin Omar]
Ulum Hadis [Dr. Rosmawati Ali]
Dan lain-lain.