Penggerak Muslimin



Allah berfirman di dalam Al Quran:

"..Dia (Allah) telah menamai kamu sekalian orang-orang muslim dari dahulu, dan (begitu pula) dalam (Al Quran) ini, supaya Rasul itu menjadi saksi atas dirimu dan supaya kamu semua menjadi saksi atas segenap manusia.."
(Surah [22] AL HAJJ : Ayat 78)

"Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah."
(Surah [33] AL AHZAB : Ayat 21)






Dari Abdullah bin Mas’ud r.a : Rasulullah saw bersabda, “Barangsiapa berdusta atas namaku dengan sengaja, hendaklah dia mengambil tempatnya di neraka.”

(MUTAWATIR)



[[ Senarai Kitab Hadis ]]

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

[[ Carian Hadis ]]

Thursday, April 28, 2011

Ucapan Pertama Pemimpin

Ucapan Pertama Pemimpin

Surah Al Baqarah [2] : [255]

.....(Allah) yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya).

Hadis : Dari Abdullah bin Salam r.a, dia berkata : ‘Pertama kali Rasulullah saw datang ke Madinah, orang ramai berkerumun kepadanya (dan) aku termasuk orang yang datang kepadanya manakala aku memperhatikan wajahnya dan menelitinya dengan seksama (beliau menilai wajah Rasulullah saw), aku mengetahui bahawa wajahnya bukanlah wajah seorang pendusta.’

Abdullah bin Salam r.a berkata lagi, ‘Ucapan pertama yang aku dengar dari beliau (Nabi SAW) adalah, “Wahai manusia, sebarkanlah salam, berikanlah makan , solatlah di waktu malam sementara orang-orang sedang tidur (dan) nescaya kalian masuk syurga dengan selamat’.” [0949] Sahih. Riwayat Al-Timidzi (Hasan Sahih), Ibnu Majah dan Al-Hakim.-At Targhib

Ringkasan mengenai Abdullah bin Salam (Husain bin Salam) r.a

1. Beliau adalah bekas pendeta Yahudi di Madinah dan terkenal sebagai orang yang baik hati dan jujur.

2. Beliau sentiasa berdoa (sebelum keislamannya) agar dapat bertemu dengan Nabi akhir zaman seperti yang dibacanya dalam kitab Taurat. Allah Subhana wa Ta’ala telah memperkenankan doanya.

Oleh kerana itu sebaik sahaja beliau mendengar persamaan atau ciri-ciri akan kedatangan Nabi Muhammad saw maka ia yakin akan kebenarannya melalui ciri-ciri tersebut seperti yang terdapat dalam kitab Taurat.

3. Apabila melihat saja wajah Rasulullah saw (sebaik hijrah Rasulullah saw ke Madinah) dan setelah mendengar perkataan pertama yang diucapkan oleh Rasulullah saw (hadis di atas), lalu Husain bin Salam menghampiri Rasulullah saw dan mengucapkan dua kalimah syahadat.

4. Rasulullah saw telah menukar namanya dari Husain bin Salam kepada Abdullah bin Salam setelah keislamannya dan sejak itu beliau sentiasa mengikuti seruan Rasulullah saw hingga dia mendapat berita paling gembira; iaitu sebagai penghuni ahli syurga.

Antara Pengajaran Hadis :

Ini adalah ucapan pertama Rasulullah saw di Madinah (sebagai pemimpin) iaitu;

(a). Sebarkanlah salam

(b). Berikanlah makan

(c). Solat malam

Tidak pernah kita (atau saya) dengar apabila seseorang yang apabila diangkat menjadi pemimpin mengucapkan perkara ini pada ucapan pertamanya (menegakkan sunnah Rasulullah saw).

Biasanya apabila seseorang yang diangkat menjadi pemimpin, mereka sentiasa menjanjikan akan keprihatinan kepada rakyat, meningkatkan pencapaian negara, bekerja bersama dan pelbagai lagi dan itulah antara perkara pertama yang diucapkannya.

Tetapi Rasulullah saw apabila sampai sahaja di Madinah, beliau mengucapkan tiga perkara penting ini selaku pemimpin di kota Madinah.

  • Apakah pentingnya tiga perkara tersebut hingga dapat melunakkan hati orang yahudi?
  • Apakah kesannya kepada negara dan rakyat atau orang yang dipimpin mengenai ketiga-tiga perkara itu?

Secara ringkasnya dapat kita lihat melalui hadis-hadis yang lain, antaranya;

(a). Sebarkanlah salam

Dari Abu Hurairah r.a : Rasulullah saw bersabda, “Kamu tidak dapat masuk syurga, sebelum kamu beriman, dan kamu belum dapat dikatakan mukmin sebelum kamu kasih mengasihi satu sama lain. Sukakah kamu aku tunjukkan jalan untuk berkasih-kasihan? Galakkanlah salam antara sesamamu.” (0042) Sahih Muslim

Menyebarkan salam dapat mewujudkan keharmonian, meningkatkan rasa kasih sayang dan dapat menaikkan darjat dari muslim ke mukmin. Inilah perkara utama dalam masyarakat dan negara iaitu, keharmonian dan perasaan kasih sayang dan saling hormat menghormati sesama manusia terutamanya sesama umat Islam.

Maksud sebarkan salam ini bukan kepada orang yang dikenali sahaja, tetapi siapa sahaja yang bergelar Muslim. Mari kita mulakan di masjid dan surau dahulu. Sangat mengecewakan orang yang datang solat berjemaah dengan muka yang muram dan masam.

Senyum dan sebarkanlah salam terutama para ustaz yang memberi ceramah, pengerusi, imam, bilal, dan ahli jawantankuasa (masjid) dan anda merupakan contoh terbaik. Jangan sombong dengan pangkat dan ilmu yang ada dan bermuka manislah. Mulakanlah dengan memberi salam terlebih dahulu dan belajarlah cara memberi dan menjawab salam dengan betul.

(b). Berikanlah makan

Memberi makan kepada orang bermaksud berbuat baik kepada jiran tetangga dan orang-orang miskin. Ini dapat mengelakkan semangat berpuak-puak dan dengki khianat sesama mereka. Perkara ini nampak seperti remeh, tetapi sangat-sangat penting kerana masyarakat itu terdiri dari himpunan jiran-jiran.

Jika jiran tetangga saling hormat menghormati dan berkasih sayang maka akan terwujudlah masyarakat yang harmoni. Adakah zaman kita ini wujud kempen menghormati jiran dan memberi makan? Walaupun ada, sejauh mana ia diambil peduli atau ia hanya kempen sambil lewa sahaja?

Oleh itu, kenalilah jiran anda (bantulah mereka yang kesusahan) dan berilah mereka makan tidak kira apa agama dan kefahaman mereka. Umat Islam tidak perlu tunggu kempen dari sesiapa pun untuk mengikuti sunnah yang sangat penting ini. Antaranya lebihkanlah kuah dalam masakan dan berilah kepada jiran-jiran.

Hadis : Dari Jabir bin Abdillah r.a : Rasulullah saw bersabda, "Semua perbuatan baik adalah sedekah." [165] Sahih Bukhari - Adabul Mufrad

Hadis : Dari Hamzah bin Shuaib r.a dari bapanya : Rasulullah saw bersabda, “Sebaik-baik kalian adalah orang yang memberi makan.” [0948] Hasan Sahih. Riwayat Ahmad dan disahihkan oleh Al-Hakim - At-Targhib

Hadis : Dari Abu Dzar r.a katanya : Kekasih ku (Rasulullah saw) berwasiat kepada ku : “Jika kamu memasak sayur, maka perbanyaklah kuahnya dan perhatikanlah jiran mu.” [Sahih Muslim dan lain-lain. Dinukil dari; Adab-Adab Berjiran, tulisan Syeikh Ali Hasan Ali Abdul Hamid] dan dengan lafaz yang sedikit berbeza dari Sahih Ibnu Majah [2726] dimana perkataan kuah itu adalah air (perbanyakkanlah airnya) dan tambahan makna ‘berikanlah sedikit pada tetanggamu’.

Boleh juga melihat hadis-hadis lain mengenai kejiranan di sini. (http://koleksihadisnabi.blogspot.com/2010/11/adab-adab-berjiran-jiran-dikhususkan.html )

(c). Solat Malam

Solat malam membawa banyak kebaikan antaranya menguatkan pemikiran (mudah fokus, cerdas), menguatkan jasmani, menghilangkan rasa malas (perkara yang menyebabkan rasa bosan, tak tahu nak buat apa (rasa ‘blank’), perasaan tak tentu arah dan sebagainya). Apakah kesannya kepada masyarakat dan negara?

Antara kesannya ialah mewujudkan rasa takut kepada musuh-musuh Islam apabila melihat umat Islam yang sentiasa kuat dan bertenaga baik dari segi jasmani (fizikal) mahupun kekuatan psikologi, emosi (rohani) dan seumpamanya. Ini diisyaratkan dalam beberapa hadis, antaranya;

Hadis : Dari Abu Hurairah r.a : Rasulullah saw bersabda, “Waktu seseorang sedang tidur, syaitan membuat tiga buah simpul di kepalanya. Untuk setiap simpul ia (syaitan) mengatakan, ‘Tidurlah engkau sepanjang malam’.

Ketika terbangun, lalu dia (orang yang tidur) menyebut nama Allah, maka lepaslah satu simpul. Jika berwudhu’, lepas pulalah satu simpul. Dan jika dia solat terbukalah seluruh simpul.

(Mereka yang bersolat malam ) Maka waktu bangun pagi ia akan merasa penuh semangat dengan badan yang segar bugar. Jika tidak, dia akan bangun pagi dengan perasaan serba tak enak dan malas.” [0599] Sahih Bukhari

Selain itu orang yang solat malam doanya tidak tertolak, insyaAllah;

Hadis : Dari ‘Uqbah bin ‘Amir Al-Juhni r.a : (Diringkaskan) Nabi saw bersabda, “Maka Allah Azza Wa Jalla berfirman kepada mereka yang berada di sebalik hijab (iaitu para malaikat) : ‘Kamu lihatlah kepada hamba-Ku ini. Beliau melawan keinginan nafsunya (untuk terus tidur dan bangun solat malam), lalu meminta (berdoa) dari-Ku.

Oleh itu, apa sahaja yang dipinta oleh hamba-Ku maka itulah miliknya (doanya dimakbulkan oleh Allah yang Maha Tinggi).” [045] Sahih Imam Ahmad dan Ibnu Hibban dalam Kitab Hadis Al-Qudsi

Oleh itu kepada para pemimpin atau bakal pemimpin-pemimpin akan datang, kembalilah kepada ajaran Rasulullah saw jika kamu benar-benar mencintai Allah dan Rasul-Nya dan menginginkan kemenangan dunia dan akhirat. Mulakanlah dengan tiga perkara ini.

Pemimpin dan bakal pemimpin itu bukan hanya sultan, perdana menteri, menteri dan sebagainya, tetapi ia merangkumi; suami yang memimpin isteri, ibu bapa yang memimpin anak-anaknya, guru yang memimpin anak murid, majikan yang memimpin pekerjanya dan sesiapa sahaja dan semuanya terlibat.

Wallahu’alam


Artikel Popular