Penggerak Muslimin



Allah berfirman di dalam Al Quran:

"..Dia (Allah) telah menamai kamu sekalian orang-orang muslim dari dahulu, dan (begitu pula) dalam (Al Quran) ini, supaya Rasul itu menjadi saksi atas dirimu dan supaya kamu semua menjadi saksi atas segenap manusia.."
(Surah [22] AL HAJJ : Ayat 78)

"Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah."
(Surah [33] AL AHZAB : Ayat 21)






Dari Abdullah bin Mas’ud r.a : Rasulullah saw bersabda, “Barangsiapa berdusta atas namaku dengan sengaja, hendaklah dia mengambil tempatnya di neraka.”

(MUTAWATIR)



[[ Senarai Kitab Hadis ]]

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

[[ Carian Hadis ]]

Sunday, April 3, 2011

Cara Mudah Tadabbur Al-Quran (Bahagian 1/2)

Cara Mudah Tadabbur Al-Quran (Bahagian 1/2)

PENDAHULUAN

Surah Al Baqarah [2] : [255]

.....(Allah) yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya).

PENGENALAN

Pendekatan Al-Quran Sebagai Sumber Ilmu

Al-Quran diturunkan kepada umat manusia diantaranya supaya mereka menjadikannya sebagai petunjuk, dijadikan pedoman, mendapat ketenangan, memberi ilmu pengetahuan serta pembimbing dalam tatacara kehidupan melalui peraturan perintah dan larangan dan pelbagai lagi fungsi Al-Quran.

Apa yang lebih dari itu adalah, Al-Quran menuntun manusia ke jalan keamanan, ketenteraman, keharmonian, keilmuwan serta pewujudan sebuah tamadun yang hebat dan mampu menggegar dunia. Begitulah kehebatan Al-Quran dengan kemukjizatan yang terkandung di dalamnya sehingga Allah Subhana wa Ta’ala berfirman;

Terjemahan : Surah Ar-Ra'd [13] : 31

31. Dan sekiranya ada suatu bacaan (Kitab suci) yang dengan bacaan itu gunung-gunung dapat digoncangkan atau bumi jadi terbelah atau oleh kerananya orang-orang yang sudah mati dapat berbicara (tentunya itu adalah Al-Quran).. (Antara terjemahan dalam tafsir Ibnu Katsir dan Tafsir al-Jalalayn).

Tetapi zaman ini Al-Quran tidak lagi diambil sinar cahayanya dan ia lebih ke arah pembacaan yang tidak keruan, perhiasan dinding, pengamalan surah-surah tertentu sahaja (Yassin dan sebagainya) serta pembacaan yang memenuhi mulut tetapi kosong pada akal fikiran dan jauh dari hati.

  • Ada yang membaca tanpa faham maknanya dan ada yang tidak tahu membacanya langsung;
  • Ada pula yang tahu membaca dan tahu maknanya, tetapi tidak tahu memanfaatkannya dalam kehidupan (tidak memahaminya);
  • Ada pula yang membaca tetapi untuk mengingkarinya;
  • Ada pula yang membacanya untuk mendapatkan upah semata-mata.

Lalu jadilah Al-Quran itu sebagai pemenuh mulut sahaja dan tidak dapat melepasi kerongkong; Tidak pula dapat menggerakkan akal serta tidak pula dapat menerangkan hati dan jadilah umat Islam itu umat yang mengabaikan Al-Quran.

Orang Yang Mengabaikan Al-Quran (Mahjuuro)

Terjemahan : Surah Al-Furqaan [25] : 30

30. Berkatalah Rasul: "Ya Rabb, sesungguhnya kaumku menjadikan Al Quran ini ‘mahjuuro’ (sesuatu yang tidak dipedulikan atau telah mengabaikan Al-Quran)."

Maksudnya : Rasulullah saw mengadu kepada Allah Ta’ala dan ditujukan kepada orang-orang musyrik kerana mereka apabila diperdengarkan Al-Quran mereka bersikap tidak acuh serta berbuat bising dan mengajak pula orang lain agar mengingkarinya (Rujuk Surah Fussilat [41] : 26 – Tafsir Ibn Katsir).

Sedikit persoalan :

(a). Adakah kita termasuk dari orang-orang yang diadu oleh Rasulullah saw kepada Allah Subhana wa Ta’ala kerana mengabaikan Al-Quran?

(b). Adakah kita menepati ciri-ciri kaum musyrik di atas? Persoalan ini hanya boleh dijawab oleh diri sendiri sahaja. Ini hanyalah sebagai peringatan kepada umat Islam agar menjauhi sifat-sifat musyrikin yang membenci Al-Quran dan mengajak orang lain membencinya pula.

Antara golongan yang tidak mempedulikan Al-Quran (mahjuuro) adalah; berbuat bising apabila mendengar Al-Quran dikatakan mahjuro, tidak mengimani dan membenarkan Al-Quran dipanggil mahjuro, tidak mengamalkannya juga dipanggil mahjuro, berpaling kepada yang lain (nasihat atau pendapat orang lain mengatasi Al-Quran) adalah mahjuro dan tidak mentadabburnya juga adalah mahjuro. (Tafsir Ibnu Katsir)

Apakah Tadabbur?

Terjemahan : Surah Sod [38] : 29

29. Ini adalah sebuah kitab yang Kami turunkan kepadamu penuh dengan berkah supaya mereka tadabbur ayat-ayatnya dan supaya mendapat pelajaran (atau memberi peringatan) kepada orang-orang yang mempunyai akal fikiran (ulul albab).

Maksudnya : Al-Quran itu penuh berkah dan di dalamnya terdapat pelbagai tatacara kehidupan yang benar dan bersumberkan dari Allah Ta’ala dan mustahil salah. Selain itu Al-Quran juga merupakan sumber ilmu yang rasional dari segi sains dan ilmu lainnya serta ketepatannya sama sekali tidak diragui. Tidak dapat mengambil pelajaran darinya kecuali mereka yang menggunakan akal fikiran. (Kefahaman dari Tafsir Ibnu Katsir)

Terjemahan : Surah Muhammad [47] : 24

24. Maka apakah mereka tidak tadabbur Al-Quran ataukah hati mereka terkunci?

Maksudnya : Secara umumnya ia merupakan pertanyaan kepada manusia, iaitu tidak adakah satu pun ayat dari Al-Quran itu yang dapat menembus hati kamu? Atau, tidakkah satu pun yang kamu hayati? (Tafsir Ibnu Katsir)

Secara ringkasnya apa yang lebih penting dan dilihat dari konsep yang lebih luas tadabbur juga adalah memerhatikan, memikirkan, memahami serta menghayati atau mengkaji Al-Quran dan seterusnya mengamalkannya serta memberi kebaikan atau faedah kepada diri, masyarakat dan Islam secara umumnya.

Walaubagaimanapun untuk memahami Al-Quran dengan lebih baik adalah dengan merujuk kepada kitab tafsir Al-Quran itu sendiri dan tidak semata-mata terjemahannya sahaja, kerana kadangkala ada ayat-ayat Al-Quran yang kita tidak mampu memahaminya tanpa bantuan kitab tafsir.

Memikirkan dan Mengambil Pelajaran Dari Al-Quran

Persoalannya bagaimanakah untuk mentadabbur Al-Quran itu? Perlu diingat mentadabbur ini lebih ke arah menjadikan pengajaran dan mengambil iktibar dari ayat-ayat Al-Quran itu sendiri dan bukannya mentafsir ataupun takwil ayat-ayat Al-Quran itu. Tidak boleh sama sekali kita mentafsir Al-Quran sesuka hati kecuali merujuk kepada ahli-ahli tafsir yang pakar dan muktabar dari golongan salafussoleh beriktikad Ahl Al-Sunnah wa Al-Jamaah.

Antara cara Rasulullah saw mengajar umatnya ‘apa yang perlu dibuat’ ketika membaca Al-Quran, dapat kita pelajari dalam sebuah hadis;

Dari Hudzaifah r.a, (katanya) : Nabi saw bersolat;

a). dan jika beliau membaca ayat tentang rahmat, beliau memohon rahmat.

b). Jika beliau membaca ayat tentang azab, beliau memohon agar dijauhkan.

c). Jika beliau membaca ayat yang menerangkan tentang penyucian sifat-sifat Allah, beliau bertasbih. [1119] Sahih Ibnu Majah (Juga diriwayatkan oleh Muslim dan Abu Daud).

Bagi orang-orang yang beriman seperti kita (bukan ahli ilmu) malah ada pula yang tidak tahu berbahasa Arab, maka tidaklah ada sesuatu yang dapat menghalang kita agar dapat memikirkan isi Al-Quran, mengambil pelajaran darinya dan seterusnya dijadikan sebagai pengajaran dan pedoman kerana Al-Quran telahpun diterjemahkan dalam pelbagai bahasa.

Begitu banyak tulisan para ilmuwan, kuliah-kuliah mengenai mentadabbur Al-Quran ini tetapi risalah ini hanya mengambil sedikit sahaja darinya melalui empat cara yang mudah berdasarkan pengajaran dari hadis sahih di atas untuk mentadabburi Al-Quran, antaranya;

1. Perhati : Maksudnya melihat dengan teliti, peka atau ambil peduli.

2. Fikir : Maksudnya menggunakan akal yang bijak dalam memikirkan sesuatu.

3. Faham : Maksudnya mengetahui sesuatu itu dengan lebih mendalam.

4. Menghayati : Mengalami, merasai atau terkesan sesuatu dalam hati.

Ini bukanlah satu-satunya kaedah dalam mentadabbur Al-Quran, tetapi ini mungkin salah satu cara yang dapat kita gunakan dalam melihat, mendengar dan membaca Al-Quran melalui perspektif yang berbeza dan seterusnya meningkatkan rasa cinta kepada Al-Quran dan Al-Sunnah lalu mewujud dan menambahkan rasa minat untuk mendalami ayat-ayat Al-Quran.

( Bersambung - Cara Mudah Tadabbur Al-Quran – (Perhati, Fikir, Faham dan Hayati) [Bahagian 2/2]



Artikel Popular